Interbiu Pasca Uno: Saufie & Idea-Idea Terbengkalai

(Gambar di sebalik persiapan pameran ‘Unfinished’ ihsan Ahmad Saufie Jaffar)

Azroy Jamiri dengan tabah menghempaskan kad kuning bernombor tujuh di tengah-tengah meja, sehingga menghasilkan bunyi bertepek yang kuat akibat persentuhan kertas dan kayu. Seterusnya giliran Ahmad Saufie Jaffar. Dia hanya menjeling kad tersebut dan kemudian menyusun kad yang sudah menjadi kipas di kedua-dua tangan, dia sisip satu kad ke sebelah kad yang lain, tarik satu kad lagi dan selit pula ke posisi berbeza. Susah nak teka sama ada Saufie boleh follow ataupun dia terpaksa tarik kad dekat pile. Benda-benda psiko macam ini tak semua orang boleh buat. Ada jenis muka yang memang senang nak dibaca tindak-tanduknya, tapi dengan Saufie pula agak sukar kerana muka dia sedia terpasang dalam mode terpinga-pinga.

Pertarungan Uno yang sengit bahkan tegang ini berlangsung dalam dingin malam, di kedai kopi mini Volute yang terbina khas di laman belakang Ruai. Bebola lampu yang bergelayut di atas kami nampak macam kepala Pac-Man yang berkilau. Sedikit gusar kalau mentol itu tiba-tiba terhempas di kepala Saufie sebelum dia sempat menurunkan kad.

Americano dalam cawan nyaris beku semasa Saufie akhirnya mencampakkan kad Wild Draw Four ke tengah meja. Dan yang paling celaka, sudah tentulah aku, yang sebetulnya tinggal satu kad dan sedang menikmati fasa Uno. Bengang boleh tahan pasal nak-tak-nak memang kena colek empat kad dari pile. Untuk pemain yang sedang Uno – selangkah ke alam juara – perkara ini terbukti keji. Situasi ini kita kenali sebagai cantas: yakni mencantas mana-mana pemain yang terlihat punya potensi untuk menang seterusnya memerangkapnya dalam permainan yang mungkin akan jadi meleret-leret.

“Inilah Art of Uno, bro. Inilah Art.” Kata Saufie, terkekeh-kekeh.

Kesudahannya aku menang juga walaupun tadi kena draw empat kad di masa kecederaan. Dan memandangkan aku yang menulis benda alah ini jadinya akulah yang harus menjadi jaguh. Mana lagi tempat di dunia ini untuk penulis memenangkan dirinya – kalau bukan dalam tulisan sendiri.

Kemenangan itu disambut dengan persoalan skeptikal dari Saufie, dan aku jawab dengan jawapan sama yang dia berikan tadi tetapi dengan sedikit penambahan, “Inilah Art of Uno, brader. Art tidak kejam, yang kejam ialah pelakunya.”

Kami sama-sama terbahak walaupun perkara tersebut tak berapa nak lucu. Sebut pasal ‘Art’ tadi mengingatkan aku bahawa Saufie terlibat dengan ‘kerja-kerja seni tak siap’ yang sedang dipamerkan di kedai kopi Alley No. 5, Jonker Walk dan berlangsung selama tiga bulan lamanya (Mac – Mei 2018). Sebelum beransur, sempat juga aku interbiu dia (selaku artis utama bersama-sama Soong Ro Ger dan lain-lain jemputan) perihal idea di sebalik ‘UnFinished’ Art Exhibition berkenaan (rujuk https://goo.gl/2xprcf).

Anas: Pameran kau ni harfiahnya mempamerkan kerja-kerja terbengkalai. Kalau dah dipamerkan patutnya dah kira siap, kan?

Saufie: Tak juga. Tak semestinya. Dalam semangat pameran ini menurut Ro Ger, dia yang ajak aku turut serta, antara faktor yang dia nyatakan kerana terbengkalai itu adalah antaranya komitmen, masa, berpindah ke alam lain, wang, mood dan pelbagai lagi. Ia boleh jadi alasan tapi ada antaranya seorang pelukis itu telah for good ke Iran jadi dia masih ada lagi catan yang belum siap tapi kita pamerkan juga. Sebelum ni ada orang pergi buang catan dia di tong sampah tapi nasib sempat diselamatkan. Lagi, ada short movie dari Zwei dengan judul The Killed, tak silap aku dia bikin dalam tahun 2016. Pernah tayang di KKIFF. Kalau kita lihat filemnya, macam dah siap dan boleh bertanding. Tapi Zwei cakap panel hakim tak suka sebab agak missing banyak benda. Aku setuju dengan hakim tu lepas nonton filemnya.

A: Banyak installation kau melibatkan teks. Contoh macam work Muka, Peter Petty atau Bas Utara. Bila orang tengok, dia akan baca dan mungkin boleh faham sikit, mungkin juga boleh faham banyak – akhirnya misteri atau nilai saspen tu dah tak ada. Kenapa kau kena letak teks?

S: Variasi. Sebab kurator kata tak ada orang yang dalam line teks. Kebanyakan sudah dalam bentuk visual jadi kurator suruh aku letak teks-teks yang dulu pernah bercita-cita nak jadi puisi, anekdot atau prosa. Tentang misteri atau nilai saspen itu tak pernah terfikir teks aku ada nilai yang disebutkan.

A: Ada kucing dalam sangkar macam pelik sikit sebab kedua-dua kaki belakang dia terkangkang dan agak kejung. Kucing tu sebahagian dari pameran ke?

S: Ha’ah. Menurut Oren, barista dekat Alley merangkap penyelamat Bapo (kucing), dia jumpa kucing tu dalam keadaan cedera teruk, parah di tulang belakang dan dia yang bergegas bawa Bapo ke klinik untuk rawatan.

A: (mencelah) Oren tu memang nama betul dia ke? Apasal nama kucing tu Bapo?

S: Aku pun tak tahu apa nama sebenar mamat tu. Eh, manalah aku tahu sejarah nama dia orang ni.

A: (ketawa dalam nada bass) Dah.. dah.. sambung cerita pasal kucing tu.

S: Doktor cakap Bapo ada dua opsyen. Oren pilih untuk selamatkan haiwan tu dan Bapo jadi lumpuh. Jadi kucing ini pernah jadi siap, boleh berjalan seperti kucing normal, tapi sekarang seperti tak siap. Mungkin kedengaran ada unsur abusive dan manipulasi pada haiwan tapi itu tak penting. Sebaliknya sejarah jumpa kucing tu sebab Oren jumpa Bapo di jambatan Kg. Jawa yang orang dulu-dulu panggil Hell’s Gate. Ada jambatan di situ menghubungkan ke Kg. Jawa yang dulu terkenal dengan aktiviti hisap candu, pelacuran, samseng, vice dan segala nikmat dunia yang boleh menghumban kita ke neraka.

A: Aku perasan macam ada benda last minute, contohnya orang tua Peter tu, boleh tahan huru-hara dia baru nak letak work padahal pameran dah berjalan. Kerja dia nampak macam dah siap tapi sebenarnya tak berapa sempurna pasal bikin lepas deadline – mungkin sengaja sebab nak dapat rasa ‘unfinished’ tu. Apa penakrifan kau pasal benda last minute?

S: Pasal kerja si Peter itu bagi aku sebenarnya tak ada apa-apa masalah, kecualilah waktu pasu gelas milik cafe yang dia terlanggar sampai pecah. Samalah cerita Francis Bacon yang waktu last minute di ambang pameran masih lagi dia memberus dan terus gantung dalam keadaan cat masih basah!

A: Lain aku tanya lain kau jawab.

S: Eh, kau tanya pasal Peter kan?

A: Aku tanya pasal benda last minute. Okay, tanya benda lainlah. Bila bikin kerja-kerja berseni, ada masa kita stop bila kita rasa nak stop. Apa pula visi dalam kepala kau masa bikin benda-benda ni?

S: Aku lupa siapa yang cakap, waktu idea itu datang kerja itu harus dilakukan segera seolah-olah kau ini tukang besi yang harus melentur besi yang masih panas. Seperti juga kerja-kerja ni. Idea itu muncul, seterusnya kau buatlah apa yang perlu kau buat. Bila proses terjemahan idea itu dia terdedah dengan masa, dengan tenaga, percubaan, komunikasi, siang atau malam, keputusan dan istiqomah. Ada satu watak menarik nama Lonnie Donaho dalam movie Gentleman Broncos, yang bermula nak berkenalan dengan protagonis. Waktu berkenalan dia claim dah buat 83 filem bentuk indie tapi semuanya cuma trailer. Dalam movie Fine Totally Fine pula, watak Teuro Tohyama ingin jadi seorang prankster profesional dan ingin mendirikan taman tema ultraseram tapi terhalang kerana faktor diri sendiri serta idea tak laku sewaktu pembentangan. Watak fiksyen banyak bagi aku inspirasi untuk pameran ini.

A: Ada orang cakap, art itu sendiri adalah work in progress dan memang tak akan pernah siap. Setuju ke tak? Harap-harap soalan ni tak redundant-lah.

S: Setuju, setuju. Muhammad Haji Salleh ada sebut tentang tulisannya yang dia fikir perlu diubah waktu nak hantar ke kilang cetak. Mungkin setelah dicetak pun ada lagi yang nak dibetulkan. Sebenarnya dia ada dua side yang aku fikir datang dari pengalaman.

A: Itu ke yang dia cakap masa kau jumpa dia dekat MAEPS dulu?

S: Bukanlah, yang ini dalam intro antologi sajak apa entah, nanti aku cari balik. Lagi satu, lima belas tahun lepas waktu masih remaja dan suci, ada satu rumah digelar Rumah Helang dekat Sialang, Tangkak. Rumah ini aku fikir unik dengan binaan togel tanpa simen menampakkan batu bata ala Istana Kellie, pun tak siap, kan? Dan hanya mungkin berusia 40 tahun atau lebih. Jadi rumah ini tak dihuni kerana tak siap. Aku pun tak tahu cerita kenapa. Tapi zaman sekarang, setiap corner jalan atau tanah lapang mesti lepas tu sekejap saja dah naik zink untuk kepung kawasan, dan papan notis yang akan memberitahu pembinaan lot rumah atau rumah kedai. Dan kebanyakannya syukran jazilan siap dibina berserta pelekat untuk disewa-jual tapi masih tak ada penghuni. Di area Cheng, aku pernah sesat situ waktu malam dan lot-lot kedai yang siap tapi kosong terbiar, dah jadi macam kawasan downtown Detroit. Dekat tengah jalan pula ada tong besi dengan api marak di dalamnya.

A: Ada post-apocalyptic punya feel.

S: Betul tu. Aku pula berperasaan macam ada bayang-bayang orang dekat balik tiang-tiang celah-celah lorong tu merenung ke mengintai aku yang dia orang tak pernah nampak dan tidak diundang ke situ. Kelam-kabut aku drop gear motor dan cepat-cepat buat U-Turn. Itulah pengalaman buruk saya tentang benda siap yang ditinggalkan.

○○○

Jam sudah lepas dua pagi dan demi menjauhi gangguan makhluk halus kami sepakat untuk menutup malam itu dengan sedikit petikan gitar dari Azroy Jamiri, barista berbakat dan seorang host berkaliber. Roy mendendangkan lagu yang kemudiannya bakal menjadi tema rasmi bagi penutup setiap sesi Uno yang berjudul ‘Uno Kau Memang Shaiton’. Lagu ini juga dijangka merajai carta antarabangsa bagi kategori tema permainan kad yang memecah-belahkan persahabatan.

Aku beransur pulang sebab mata dah mula berdenyut. Pagi nanti aku kena bangun awal untuk vakum dan mop lantai rumah seterusnya mencuci tandas. Saufie pula bergegas ke 7-Eleven untuk beli roti dan kaya sebab esok ada tetamu yang akan check-in di Ruai.

Sedang mengibas-ngibas tilam, aku dapat mesej dalam grup #kelabpeminatbuahfikiran dari Saufie. Dia maklumkan ada kereta terbalik sejurus dia sampai di 7-Eleven. Saufie teks mujurlah dia lambat beberapa saat sebab sebelumnya dia nampak kereta yang terbabas itu terhuyung-hayang di jalanraya. Kemudian Saufie memenuhkan kotak mesej dengan gambar-gambar dari kejadian tersebut. Serasa angker juga bila tengok kereta terbalik pada pukul tiga pagi.

Aku hampir terlelap sebelum terbaca mesej akhir Saufie yang agak menganggu fikiran: “Yang bawak kereta sampai terbalik tu mabuk rupanya. Budak lagi. Mamat tu masa keluar dari kereta dia boleh tanya siapa bawa ini kereta haa?? Saya memang mabuk mana saya boleh bawa ini kereta.”

Advertisements